KURSUS PEMANTAPAN KERJA PROFESIONALISME PEGAWAI DAN ANGGOTA PENGUATKUASA JANS TAHUN 2023
PAPAR - Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) menzahirkan komitmen memerangi jenayah rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menerusi inisiatif lafaz dan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) pada 12 Oktober 2023 (Khamis) di Masindung Resort, Papar bersempena Kursus Pemantapan Kerja Profesionalisme Pegawai dan Anggota Penguatkuasa JANS yang bertemakan "Pembudayaan Kerja Berintegriti". Kursus ini telah diadakan pada 10 hingga 12 Oktober 2023 di Masindung Resort, Papar.
Sesi melafaz dan menandatangani IBR tersebut diketuai oleh Tuan John Elvin Darawading dengan disaksikan oleh Timbalan Pengarah (Operasi) SPRM Sabah, PKPj Syamsul bin Osman dan disertai seramai 114 anggota penguatkuasa lantikan baharu.
Antara petikan ucapan perasmian daripada Pengarah JANS, Tuan Haji Suhaimi bin Haji Asbullah berharap agar warga kerja JANS terutamanya anggota Penguatkuasa dapat menjaga disiplin diri, berintegriti dan bebas daripada jenayah rasuah serta mengamalkan budaya kerja yang cemerlang agar JANS mampu merealisasikan visi JANS iaitu "Menjadi Organisasi Utiliti Air Yang Sistematik Mampan dan Berkualiti dalam Penyampaian Perkhidmatan Menjelang Tahun 2025".
Melalui kursus ini, semua anggota Penguatkuasa JANS dapat mempertingkatkan ilmu dan kemahiran Penguatkuasa dalam melaksanakan SOP Kerja-Kerja Penguatkuasaan. Selain itu, mereka juga dapat memahami tatacara Penyediaan Kertas Siasatan (Kertas IP) dan tatacara Pengeluaran Kompaun serta dapat meningkatkan motivasi diri melalui Pendidikan Antirasuah dan Integriti dalam kalangan anggota Penguatkuasa.
Sumber daripada : Laman Facebook Rasmi SPRM Sabah dan Laman Web Rasmi Jabatan Air Negeri Sabah