Latar Belakang dan Sejarah

LATAR BELAKANG AGENSI

Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) merupakan sebuah agensi Kerajaan Negeri di bawah Kementerian Kerja Raya Sabah (KKRS). Pada masa ini, JANS menjalankan fungsi di bawah Enakmen Bekalan Air 2003 bagi mengawal dan mengawal selia pembekalan dan pengagihan air terawat kepada penduduk negeri Sabah.

Terdapat 85 loji perawatan air beroperasi di seluruh Sabah dengan purata pengeluaran 1,404 juta liter air sehari bagi memenuhi keperluan penduduk di negeri ini. Liputan bekalan air ini telah merangkumi ke tahap 100% penduduk bandar dan 60% penduduk luar bandar dengan panjang rangkaian paip air sebanyak 15,706 km. 

Terdapat 427,583 akaun pengguna berdaftar dengan JANS melalui 28 buah Jabatan Air Daerah di seluruh negeri.

(Data setakat Disember 2022)

SEJARAH PENUBUHAN JABATAN AIR NEGERI SABAH

Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) pada asalnya menjalankan operasi sebagai salah satu bahagian di Jabatan Kerja Raya (JKR), iaitu Bahagian Hidrolik, JKR. Semasa bernaung di bawah JKR, bidang kuasa Pihak Berkuasa Air sebagaimana yang termaktub di dalam Ordinan Bekalan Air Sabah 1961 (yang dikuatkuasakan pada 1hb. Januari 1962), adalah dipertanggungkan kepada Pengarah JKR Negeri Sabah.

Pada bulan April 1987, Kerajaan Negeri telah memutuskan untuk menjadikan Jabatan Air sebagai sebuah Jabatan penuh di bawah tanggungjawab seorang Pengarah dan diletakkan di bawah Kementerian Perhubungan dan Kerja Raya Sabah yang kini dikenali sebagai Kementerian Kerja Raya Sabah (KKRS).

Berikutan daripada itu, JANS telah ditubuhkan dengan rasminya sebagai satu Jabatan sendiri berkuat kuasa 1hb. Januari 1988 dengan kelulusan pindaan-pindaan kepada Ordinan Bekalan Air, 1961 oleh Dewan Undangan Negeri.

Bagi menjalankan bidang kuasa, fungsi dan tanggungjawabnya, Pengarah Air telah diberi kuasa sebagai Pihak Berkuasa Air melalui pindaan yang dibuat pada 1hb. Julai 1987 ke atas taksiran Pihak Berkuasa Air dengan menggantikan ‘Director of Public Works’ kepada ‘Director of Department’ dalam seksyen 2 Ordinan Bekalan Air 1961 di samping memansuhkan Enakmen Pihak Berkuasa Air Negeri Sabah 1981 (Sabah Water Authority Enactment 1981).