Soalan Lazim

Bil-bil

Jika anda tidak menerima bil air sekurang-kurangnya setiap 3 bulan...

Laporkan kepada Pejabat Jabatan Air yang terdekat. Bil air dikeluarkan setiap 1 bulan atau setiap 3 bulan bergantung kepada jenis premis. 

Jika anda menyerahkan hak tanah dan bangunan kepada pihak lain melalui proses jual beli...

Pastikan akaun air anda ditutup dan tunggakan bil dibayar sepenuhnya. 

Jika anda hendak memperoleh hartanah dan bangunan melalui proses jual beli dan lelong...

Rujuk kepada Jabatan Air bagi memastikan tiada tunggakan bil yang belum dibayar oleh pemilik atau pengguna berdaftar pada hartanah atau bangunan tersebut. 

Sekiranya anda telah memperoleh hartanah dan bangunan melalui proses jual beli, wasiat atau lelong, dan terdapat bil air yang belum dibayar, siapa bertanggungjawab untuk membayar?

Anda (pemilik baharu).

Jika anda hendak menyewa hartanah atau bangunan...

Rujuk Jabatan Air bagi memastikan bahawa tiada tunggakan bil. 

Sekiranya penyewa hartanah atau bangunan yang telah menamatkan penyewaan enggan menjelaskan bil air...

Pemohon akaun baharu oleh penyewa baharu tidak dibenarkan dan pemilik bertanggungjawab membayar bil tersebut. 

Bolehkah permohonan akaun baharu diluluskan sekiranya terdapat akaun yang mempunyai tunggakan air?

TIDAK. Tunggakan bil hendaklah dibayar terlebih dahulu dan akaun lama ditutup sebelum permohonan baharu diluluskan. 

Jika anda ialah mantan penghuni kuarters kerajaan dan masih belum menjelaskan bil air sepenuhnya setelah mangosongkan kuarters berkenaan...

Sebelum mengosongkan kuarters anda wajib menjelaskan bil air sepenuhnya dan akaun anda ditutup. Jika gagal, baki bil tertunggak akan dipindahkan ke akaun baharu anda dan Jabatan Air akan menghubungi ketua Jabatan anda bagi melaporkan kegagalan anda menjelaskan bil. 

Jika anda sebagai penyewa hendak keluar dari premis, dan telah dibekalkan air menggunakan akaun pemilik premis, sekiranya anda telah terlebih bayar bil anda...

Anda bertanggungjawab meminta pemilik premis yang berdaftar merujuk kepada Jabatan Air untuk bayar balik. 

Bolehkah saya membuka akaun baharu di tapak tanah yang sama kepada premis yang berlainan, contohnya ialah tanah hakmilik bapa saya dan kami adik beradik membina rumah masing-masing di situ...

Anda dibenarkan berbuat demikian, tertakluk kepada status akaun air yang sedia ada di atas tapak tanah yang sama. 

Saya ialah pemilik berdaftar kepada premis, sekiranya penyewa premis saya bermasalah dan akaun air adalah di atas namanya, bolehkah saya meminta Jabatan memberhentikan bekalan airnya...

TIDAK. Penyewa itu adalah pengguna berdaftar Jabatan Air. Bekalan air boleh diberhentikan sekiranya anda memperoleh Perintah Mahkamah untuk berbuat demikian. Antara anda dan penyewa, kedua-duanya adalah tertakluk kepada Perjanjian Sewa yang dibuat. 

Saya menerima NOTIS PEMOTONGAN bekalan Air...

Buat pembayaran di Pejabat Jabatan Air atau sekiranya anda membuat bayaran di Pejabat Pos atau Kaunter Bayaran lain, anda perlu membawa resit bayaran ke Pejabat Jabatan Air bagi mengelakkan bekalan air anda diberhentikan. 

Bolehkah saya membayar bil secara ansuran apabila NOTIS PEMOTONGAN bekalan air saya dikeluarkan.

BOLEH. Bayaran ansuran boleh dibenarkan dan hanya diluluskan di Pejabat Jabatan Air sahaja. 

Sekiranya saya telah diluluskan membuat bayaran secara ansuran, bagaimanakah peraturan jangka waktu pembayaran...

Anda akan menandatangani Perjanjian Bayaran Ansuran di Pejabat Jabatan Air. Anda akan dikehendaki membayar ansuran yang dipersetujui pada setiap bulan. Pada waktu bil semasa disampaikan, anda perlu membayar bil semasa dengan penuh dan bayaran ansuran pada jumlahyang dipersetujui. 

Sekiranya saya terlewat membayar ansuran saya, adakah saya dikenakan apa-apa penalti..

TIDAK. Jabatan tidak mengenakan apa-apa penalti. Bekalan air anda akan diberhentikan TANPA NOTIS sekiranya anda gagal membayar ansuran pada tarikh-tarikh yang dipersetujui. 

Meter Air

Siapa bertanggungjawab menyelenggara saluran paip selepas meter air?

Pengguna Berdaftar / penghuni. 

Sekiranya bil air meningkat disebabkan kebocoran selepas meter, siapa bertanggungjawab untuk membayar bil itu?

Pengguna Berdaftar / penghuni 

Siapa bertanggungjawab menjaga keselamatan meter air?

Pengguna Berdaftar / penghuni. Meter air adalah hak milik kerajaan dan ia tidak boleh diganggu, dipindahkan atau dirosakkan. 

Sekiranya meter air anda hilang...

Laporkan kehilangan itu kepada pihak Polis dan serahkan sesalinan Laporan Polis itu ke Pejabat Jabatan Air. Penggantian meter akan dilakukan setelah pembayaran penggantian meter dibuat. 

Bolehkah pam atau sebarang alat yang boleh meningkatkan tekanan air dipasang?

Pemasangan pam hanya dibenarkan selepas tangki pengimbang. Adalah menjadi kesalahan undang-undang sekiranya ia dipasang di kedudukan lain sebelum tangki pengimbang.

Saya membekalkan air kepada jiran saya melalui meter air saya..

Anda telah melakukan satu kesalahan undang-undang dengan berbuat demikian. 

Empangan

Adakah Empangan Babagon menyebabkan banjir atau mengakibatkan banjir teruk di Penampang?

Tidak, kerana empangan Babagon tidak mempunyai injap operasi  untuk melepaskan air ke sungai. Air hanya disalurkan ke Loji Rawatan Air Moyog melalui paip air untuk dibekalkan kepada pelanggan. Apabila  air meningkat melebihi paras semasa musim hujan, lebihan air akan mengalir keluar melalui alur limpah ke sungai. Air yang melimpah keluar daripada empangan ini adalah semula jadi.

Apakah penjelasan anda semasa musim hujan, sejumlah besar air dapat dilihat mengalir keluar daripada empangan ke sungai?

Apabila empangan penuh semasa musim hujan, lebihan air akan mengalir keluar melalui alur limpah ke sungai secara semula jadi. Ini adalah merupakan lebihan air yang mengalir dari tadahan Babagon ke sungai dan bukannya air yang dilepaskan melalui empangan.

Empangan Babagon mempunyai beberapa siren. Di mana dan apakah tujuan siren tersebut?

Terdapat tiga siren yang diletakkan di empangan, Sekolah Rendah Kebangsaan Tampasak dan persimpangan Jalan Tambunan. Apabila air hampir melimpah siren akan berbunyi secara automatik bagi memberi amaran kepada penduduk di sekitar untuk menjauhkan diri dari sungai. Informasi amaran tersebut ada ditunjukkan dengan jelas di papan tanda  yang diletakkan di beberapa lokasi sepanjang sungai dan berdekatan dengan empangan.

Sejauh manakah keselamatan Empangan Babagon terhadap banjir besar?

Empangan Babagon telah direka khas untuk melepaskan air pada kadar keberangkalian banjir besar sehingga tahap maksima (PMF) sebesar 2,560 meter padu sesaat. Kebarangkalian berlaku banjir sedemikian adalah sekali dalam 10,000 tahun. Banjir besar boleh berlaku 1 dalam 1,000 tahun iaitu 810 meter padu sesaat. Walaupun PMF tidak membahayakan keselamatan empangan, namun akan berlaku limpahan air di tebing terusan alur limpah tersebut.

Sejauh manakah keselamatan Empangan Babagon terhadap gempa bumi?

Negeri Sabah pernah mengalami gempa bumi pada 5.7 skala richter di Kudat dan 7.0 di Ranau. Berdasarkan ukuran ini, sekiranya berlaku gempa bumi di Kota Kinabalu, kemungkinan gegaran adalah kurang daripada 5.5 skala richter. Benteng empangan dan menara pengambilan air telah direka bentuk untuk menampung gegaran gempa bumi seperti intersiti tersebut.

Berapakah jangka hayat empangan dan takungan Babagon?

Jangka hayat benteng rockfill seperti Empangan Babagon tidak dapat ditentukan (ianya kekal selamanya) selagi penyelenggaraan dan pemeriksaan dilakukan secara berkala. Empangan Babagon tertakluk kepada kajian keselamatan oleh pakar empangan setiap 5 tahun dan dipantau secara berterusan menggunakan sistem telemetri serta pemeriksaan harian yang dilakukan oleh kakitangan operasi.

Adakah semua piawaian antarabangsa telah dipatuhi berkenaan dengan reka bentuk empangan Babagon?

Reka bentuk Empangan Babagon adalah mengikut garis panduan International Commission on Large Dams (ICOLD) dan Australia National Committee on Large Dams (ANCOLD) serta mematuhi piawaian antarabangsa berkenaan dan Australian Codes and Standards.