Adakah Empangan Babagon menyebabkan banjir atau mengakibatkan banjir teruk di Penampang?
Tidak, kerana empangan Babagon tidak mempunyai injap operasi untuk melepaskan air ke sungai. Air hanya disalurkan ke Loji Rawatan Air Moyog melalui paip air untuk dibekalkan kepada pelanggan. Apabila air meningkat melebihi paras semasa musim hujan, lebihan air akan mengalir keluar melalui alur limpah ke sungai. Air yang melimpah keluar daripada empangan ini adalah semula jadi.
Apakah penjelasan anda semasa musim hujan, sejumlah besar air dapat dilihat mengalir keluar daripada empangan ke sungai?
Apabila empangan penuh semasa musim hujan, lebihan air akan mengalir keluar melalui alur limpah ke sungai secara semula jadi. Ini adalah merupakan lebihan air yang mengalir dari tadahan Babagon ke sungai dan bukannya air yang dilepaskan melalui empangan.
Empangan Babagon mempunyai beberapa siren. Di mana dan apakah tujuan siren tersebut?
Terdapat tiga siren yang diletakkan di empangan, Sekolah Rendah Kebangsaan Tampasak dan persimpangan Jalan Tambunan. Apabila air hampir melimpah siren akan berbunyi secara automatik bagi memberi amaran kepada penduduk di sekitar untuk menjauhkan diri dari sungai. Informasi amaran tersebut ada ditunjukkan dengan jelas di papan tanda yang diletakkan di beberapa lokasi sepanjang sungai dan berdekatan dengan empangan.
Sejauh manakah keselamatan Empangan Babagon terhadap banjir besar?
Empangan Babagon telah direka khas untuk melepaskan air pada kadar keberangkalian banjir besar sehingga tahap maksima (PMF) sebesar 2,560 meter padu sesaat. Kebarangkalian berlaku banjir sedemikian adalah sekali dalam 10,000 tahun. Banjir besar boleh berlaku 1 dalam 1,000 tahun iaitu 810 meter padu sesaat. Walaupun PMF tidak membahayakan keselamatan empangan, namun akan berlaku limpahan air di tebing terusan alur limpah tersebut.
Sejauh manakah keselamatan Empangan Babagon terhadap gempa bumi?
Negeri Sabah pernah mengalami gempa bumi pada 5.7 skala richter di Kudat dan 7.0 di Ranau. Berdasarkan ukuran ini, sekiranya berlaku gempa bumi di Kota Kinabalu, kemungkinan gegaran adalah kurang daripada 5.5 skala richter. Benteng empangan dan menara pengambilan air telah direka bentuk untuk menampung gegaran gempa bumi seperti intersiti tersebut.
Berapakah jangka hayat empangan dan takungan Babagon?
Jangka hayat benteng rockfill seperti Empangan Babagon tidak dapat ditentukan (ianya kekal selamanya) selagi penyelenggaraan dan pemeriksaan dilakukan secara berkala. Empangan Babagon tertakluk kepada kajian keselamatan oleh pakar empangan setiap 5 tahun dan dipantau secara berterusan menggunakan sistem telemetri serta pemeriksaan harian yang dilakukan oleh kakitangan operasi.
Adakah semua piawaian antarabangsa telah dipatuhi berkenaan dengan reka bentuk empangan Babagon?
Reka bentuk Empangan Babagon adalah mengikut garis panduan International Commission on Large Dams (ICOLD) dan Australia National Committee on Large Dams (ANCOLD) serta mematuhi piawaian antarabangsa berkenaan dan Australian Codes and Standards.


